TYNE – Newcastle United dilapor semakin hampir untuk menandatangani khidmat pemain sayap Chelsea, Noni Madueke selepas bersetuju dengan semua terma peribadi yang diberikan.
The Magpies memerlukan khidmat pemain sayap yang lebih baik selepas dua pemain mereka, Miguel Almiron dan Jacob Murphy gagal menyerlah sepanjang musim lalu apabila hanya mampu menyumbang lapan gol sahaja.
Pemain berusia 22 tahun itu menjadi pilihan Newcastle selepas pemain pilihan pertama mereka, Michael Olise memilih untuk ke Bayern Munich, manakala dua lagi pemain pilihan, Jarrod Bowen dan Crysencio Summerville mungkin sukar untuk diperoleh.
Madueke ketika ini sedang menyertai skuad Chelsea dalam siri jelajah pramusim mereka di Amerika Syarikat dan beraksi ketika mereka terikat 2-2 ketika menentang Wrexham sebelum ini.
Pemain tersebut yang sudah membuat 46 penampilan dan meledak sembilan gol bersama The Blues dijangka sukar mendapatkan minit permainan yang banyak terutama ketika Cole Palmer berjaya mendapat sentuhan terbaik ketika ini.
Situasi itu menyebabkan Newcastle sedia memberikan peluang lebih besar buat Madueke untuk meraih minit perlawanan yang banyak, cuma rundingan mengenai nilai perpindahan yang menjadi persoalan.
Chelsea mendapatkan khidmat Madueke dari PSV dengan nilai £29 juta (RM173.65 juta) pada Januari 2023 dan mereka mahukan keuntungan daripada jumlah tersebut untuk bersedia melepaskannya ke Newcastle. – AGENSI