JOHOR BAHRU – Laporan Jabatan Kimia menunjukkan sampel air yang diambil di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena, Larkin di sini mengandungi bakteria Escherichia Coli atau E-Coli.
Bakteria itu dikesan pada sembilan sampel air yang diambil dari kawasan kolam renang, kolam terjun, tangki takungan dan tandas.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah ketika ditanya mengenai perkembangan kes 19 pelajar yang menghidap beberapa gejala selepas menggunakan fasiliti tersebut.
Mohd. Hairi berkata, pihaknya menerima laporan itu pada pagi tadi berdasarkan ujian beberapa sampel air yang diambil di venue Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) tersebut.
Berdasarkan laporan yang diterima, terdapat kehadiran bakteria tersebut dalam jumlah yang kecil namun ia masih boleh memudaratkan. -KOSMO! ONLINE