JITRA – Dua individu yang ditemui mati akibat terperangkap di dalam sebuah lubang pembetung, di sini hari ini disyaki cuba mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian itu disedari orang awam yang curiga melihat lubang pembetung di depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Kemunting itu terbuka kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Beliau berkata, pihaknya yang dimaklumkan mengenai keadaan lubang pembetung itu kemudian menghubungi syarikat telekomunikasi berkenaan untuk membuat pemeriksaan.
“Pemeriksaan dijalankan menemui dua lelaki yang dipercayai terperangkap di dalam lubang tersebut. Pihak bomba seterusnya dipanggil bagi membawa naik mayat dua lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan awal mendapati terdapat kabel syarikat komunikasi tersebut yang telah dipotong pada satu lagi lubang pembetung, terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.
“Kejadian itu dipercayai berlaku pada awal pagi sebelum orang awam menemui lubang pembetung yang tidak bertutup. Setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dengan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE