fbpx

Bursa Malaysia catat untung RM155.5 juta separuh pertama 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Prestasi kewangan separuh pertama Bursa Malaysia memberi gambaran bahawa pasaran saham tempatan kembali pulih secara berperingkat. -Gambar hiasan

PETALING JAYA –  Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) mencatat keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti  (Patami) sebanyak RM155.5 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (1H2024) naik sebanyak 17.4 peratus daripada RM132.4 juta tempoh yang sama  tahun sebelumnya.

Kenaikan Patami ini disumbangkan oleh pendapatan operasi dengan pertumbuhan sebanyak 29.3 peratus kepada RM374.5 juta pada 1H2024 berbanding RM289.6 juta tempoh yang sama tahun 2023.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian yang kukuh pada separuh pertama tahun ini dipacu oleh faktor kecairan yang semakin meningkat dan juga sentimen pasaran yang  terus meningkat sekali gus memberi petunjuk kepada pertumbuhan ekonomi negara dan perancangannya.

Abdul Wahid Omar

Menurut beliau, ramalan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar dijangka berkembang kepada 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini memberi petunjuk kepada pertumbuhan yang baik dengan menjadi faktor penarik kepada pelabur global di dalam negara ini.

“Minat yang baik terhadap pasaran memberi kesan positif kepada momentum pasaran dan seterusnya merangsang aktiviti pasaran modal tempatan. Kami optimistik bahawa keputusan ini akan memberi impak yang baik kepada prestasi bursa untuk separuh kedua tahun ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Dalam tempoh separuh pertama itu, pasaran sekuriti merekodkan pendapatan dagangan sebanyak RM192.2 juta, naik 52.6 peratus daripada RM126.0 juta bagi separuh pertama tahun 2023.

Gambar hiasan

Peningkatan ketara itu dipacu oleh Nilai Dagangan Harian Purata (ADV) yang tinggi untuk Dagangan Pasaran Dalam Pasaran Sekuriti (OMT) serta Dagangan Perniagaan Langsung (DBT) pada separuh pertama tahun ini tumbuh sebanyak  RM3.5 bilion daripada RM2.1 billion tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Perkhidmatan penyenaraian, terbitan dan depositori menyumbang secara ketara kepada pertumbuhan dengan merekodkan masing-masing sebanyak RM33.1 juta dan RM31.4 juta separuh pertama tahun ini.

 Selain itu, mengulas mengenai prestasi kewangan Bursa Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhammad Umar Swift menjelaskan, meskipun berdepan dengan masalah makro ekonomi luaran yang berterusan, pasaran modal tempatan terus mencatat perkembangan yang menggalakkan pada separuh pertama tahun ini melalui beberapa petunjuk yang mencatat rekod tertinggi.

“Ini melibatkan permodalan pasaran mencecah kepada paras tertinggi  sebanyak RM2 trilion dan FBM KLCI melepasi paras psikologi 1,600 mata dan mencecah ke paras tertinggi tiga tahun sebelum ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI