SEPANG – Bapa kepada remaja lelaki berusia 13 tahun yang di kesan memandu kereta di sebuah taman perumahan di Puchong, Ahad lalu sudah dirakam keterangan oleh pihak polis, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, peniaga berusia 53 tahun dan anaknya itu hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, kira-kira pukul 11 malam tadi.
Beliau berkata siasatan mendapati, kejadian itu berlaku di Taman Putra Impiana, Puchong sekitar pukul 8 malam pada Ahad lalu.
“Turut bersama remaja lelaki berkenaan dalam kereta sama ialah dua adik lelakinya masing-masing berusia 4 dan 6 tahun,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Katanya, pihaknya masih menyiasat lanjut kes yang disiasat mengikut Seksyen 39(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan.
Semalam, sebuah rakaman video tular di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak lelaki memandu kereta dan membawa dua kanak-kanak lain bersamanya di sebuah kawasan perumahan.
Rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu kanak-kanak itu dan turut dinaiki dua kanak-kanak dipercayai adiknya. – KOSMO! ONLINE