SYDNEY – Seorang pemain hoki memilih untuk sebahagian jarinya dipotong supaya dia boleh bertanding di Sukan Olimpik Paris, lapor saluran berita Sky News.
Warga Australia, Matt Dawson, 30, patah satu jari tangan kanannya selepas dia terkena pukulan kayu hoki semasa sesi latihan di Perth dua minggu lalu.
Situasi itu menyebabkan impian Dawson untuk menyertai Olimpik pudar.
Doktor-doktor berkata, kecederaan Dawson mengambil masa empat hingga enam bulan untuk sembuh, bermakna dia tidak dapat bermain dalam Sukan Olimpik di Paris.
Atau, dia boleh memilih jarinya dipotong dan dapat bermain dalam temasya sukan tersebut.
Dawson yang bermain pada posisi pertahanan untuk pasukan hoki Australia, memilih pilihan kedua.
Doktor kemudian memotong 2.5 sentimeter bahagian atas jari manis Dawson pada tangan kanannya.
Bagaimanapun, isteri Dawson telah menasihati suaminya agar tidak membuat keputusan secara terburu-buru. – AGENSI