fbpx

Henti jual ais krim campur ubat batuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan semua premis yang menjual produk ais krim dicampur dengan ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) dihentikan serta-merta.

KKM dalam kenyataan berkata, pihaknya meminta agar semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.

Katanya, arahan itu bagi tujuan keselamatan kepada pengguna dan orang ramai sebagaimana Akta Makanan 1983 di bawah Seksyen 13B (2) yang tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan.

“Pihak industri makanan diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi akta tersebut dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan pemasaran dan melariskan jualan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan,” katanya hari ini.

Terdahulu, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah membuat semakan terhadap aktiviti penjualan tersebut di premis yang ditularkan mendapati bahawa aiskrim tersebut disediakan bersama picagari berisi ubat batuk Pei Pa Koa.

Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) adalah produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM, di bawah kategori Tradisional, dengan nombor pendaftaran MAL06061564T.

Produk itu digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.

Sebarang penjualan apa-apa makanan yang diadukkan adalah satu kesalahan dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

KKM berkata, pihaknya sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat,” ujarnya.

Pengguna juga boleh melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) di http://moh.spab.gov.my atau https://www.facebook.com/bkkmhq . – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI