JOHOR BAHRU – Seorang wanita berusia 38 tahun bukan sahaja patah hati kerana tertipu dengan kekasih alam maya malah mengalami kerugian apabila wang simpanan RM658,166 dikebas.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, mangsa terpedaya selepas ditawarkan peluang perniagaan sebagai ejen kosmetik oleh suspek.
“Mangsa memaklumkan berkenalan dan menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki itu menerusi aplikasi Telegram dan WhatApps.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran perniagaan itu telah membuat 30 transaksi berjumlah RM658,166 kepada 11 akaun berlainan antara 14 Jun hingga 12 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumarasan, pembayaran tersebut dipercayai dibuat mangsa sebagai bayaran penghantaran barangan kosmetik kepada pelanggan.
“Mangsa hanya berasa dirinya telah tertipu selepas panggil video yang dibuat bersama suspek mendapati wajahnya tidak sama dengan gambar profil di aplikasi WhatsApp,” katanya.
Katanya, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu, semalam dan polis membuka kertas siasatab mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE