DALAM usaha pemerkasaan berterusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju di Borneo, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah agensi baru-baru ini.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu dilaksanakan di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.
Kolaboratif tersebut dihadiri oleh pihak UTeM menerusi Naib Canselornya, Prof. Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin, manakala MPOB diwakili Ketua Pengarah, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir serta diserikan dengan
kehadiran Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal.
Massila berkata, kerjasama strategik antara UTeM dan MPOB itu akan memperluaskan pendidikan TVET di Borneo, khususnya Sabah bagi membangun modal insan berkemahiran tinggi dan memacu pertumbuhan ekonomi setempat.
Jelasnya, kerjasama itu tertumpu kepada beberapa agenda berimpak tinggi terutamanya berkaitan usaha UTeM berhubung penubuhan pusat pembelajaran (learning centre) UTeM di MPOB Lahad Datu.
Katanya, inisiatif penubuhan pusat pembelajaran itu adalah selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi meningkatkan enrolmen pelajar terutama dalam bidang TVET termaju.
“Ia turut membuka laluan kepada pelajaran lepasan TVET dari Politeknik dan Kolej Vokasional terutamanya di Pantai Timur Sabah untuk melanjutkan pengajian di pusat pembelajaran ini.
“Kedudukan logistik Lahad Datu yang strategik serta dikelilingi industri seperti pertanian, pembuatan, pembinaan dan pengangkutan pastinya memerlukan tenaga kerja mahir.
“Di sinilah graduan UTeM akan menyumbang kembali kepada industri setempat,” ujarnya.
Ujarnya, bagi memantapkan lagi usaha itu, UTeM turut menyediakan peluang kepada pelajar di negeri berkenaan mengikuti sijil profesional bagi membangunkan tenaga mahir secara holistik.
“Bagi menjayakan agenda ini, UTeM akan bekerjasama rapat dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang lain.
“Usaha ini dilihat selari dengan hasrat keseluruhan UTeM mensasarkan pertambahan bilangan pelajar dalam bidang TVET seramai 40,000 orang, manakala seramai 150,000 pelajar TVET bagi MTUN,” katanya.
Mengupas intipati kerjasama itu, Massila berkata, kedua-dua pihak akan menjalankan perkongsian sumber penyelidikan, data teknikal dan fasiliti yang terdapat di UTeM serta MPOB.
“Di samping itu, kami menjayakan kolaborasi penyelidikan dan penerbitan dalam bidang pengajian yang dipersetujui termasuk penyeliaan bersama projek penyelidikan pelajar prasiswazah dan pasca siswazah.
“Pada masa sama, usaha turut dipelbagaikan dalam konteks dimensi pembangunan modal insan menerusi garapan rangkaian aktiviti bermanfaat kepada kedua-dua belah pihak,” ujarnya.
Menerusinya, UTeM akan berkongsi kepakaran dimiliki menerusi penerokaan bidang penyelidikan dan pendidikan minyak sawit berintegrasi tinggi secara bersama.