IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menggesa semua pihak agar memainkan peranan masing-masing bagi membantu mereka yang hidup dalam kemiskinan termasuklah kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang di peringkat antarabangsa.
Beliau bertitah, semua pihak tidak seharusnya meninggalkan walau satu pun daripada mereka yang hidup dalam kemiskinan di peringkat global, seperti mana yang diajar di dalam al-Quran iaitu jika sesiapa menyelamatkan satu nyawa, ia seolah-olah seluruh manusia telah diselamatkan.
“Ajaran al-Quran adalah jelas dan bersifat universal, ia adalah mengenai seluruh manusia tanpa mengira kepercayaan dan pendirian. Sebagai Muslim, kita diseru untuk membantu satu sama lain agar boleh berdiri bersama-sama, dan juga berdiri bersama-sama orang lain (bukan Islam).
“Jadi kita mesti bertindak segera bagi membantu umat Islam dan bukan Islam yang terjejas (dengan kemiskinan) sebelum terlambat,” titah baginda pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.
Sultan Nazrin turut bertitah, peratusan umat Islam yang hidup dalam kemiskinan melampau ketika ini tidak banyak bezanya berbanding jumlah dikongsikan indeks Kemanusiaan-Pembangunan-Keamanan (HDP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) 2014 iaitu di paras 80 peratus.
Bahkan, titah baginda, laporan terkini PBB dalam kategori Low Human Development menunjukkan separuh daripada negara terbabit adalah dari anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Populasi majoriti Muslim masih dipaparkan sebagai antara yang paling miskin di dunia dan turut membimbangkan juga populasi Muslim turut hidup dalam kemiskinan di dalam negara yang tergolong dalam kategori Very High Human Development.
“Sebagai contoh, di United Kingdom, kira-kira separuh daripada penduduk Muslim dianggarkan hidup dalam kemiskinan berbanding 18 peratus populasinya (Muslim) sebagai keseluruhan.
“Tidak sepatutnya saudara kita (umat Islam) di seluruh dunia hidup tanpa sumber untuk meneruskan kehidupan seharian mereka. Kita tak boleh berdiri bersama-sama jika sesetengah daripada kita masih berjuang hanya untuk hidup,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE