TAIPING – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru agar kualiti penyampaian perkhidmatan Mahkamah Syariah perlu dipertingkatkan selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Titah baginda, teknologi digital perlu dimanfaatkan bagi memperluas dan mempermudah akses anggota masyarakat kepada sistem keadilan syariah.
“Teknologi pendaftaran elektronik secara dalam talian dengan kemudahan pembayaran internet tanpa tunai perlu dioptimumkan pelaksanaannya di Mahkamah Syariah.
“Kemudahan sistem teknologi perbicaraan seperti sistem kemudahan rakaman audio perbicaraan dan sistem transkrip rakaman perbicaraan CRT yang sudah diguna pakai di Mahkamah Sivil hendaklah turut diguna pakai di Mahkamah Syariah,” titah baginda ketika merasmikan Bangunan Mahkamah Syariah Taiping di sini hari ini.
Justeru, Sultan Nazrin menyeru kerajaan negeri Perak agar mempertimbangkan peruntukan dalam belanjawan negeri pada tahun hadapan agar membolehkan Mahkamah-mahkamah Syariah di Perak dilengkapi dengan kemudahan rakaman audio perbicaraan dan sistem transkrip rakaman perbicaraan.
Titah baginda, ia agar Mahkamah Syariah dilihat tidak tertinggal jauh ke belakang berbanding kemudahan peralatan yang dilengkapi di Mahkamah Sivil.
“Dengan mengguna pakai peralatan teknologi terkini, norma kerja di Mahkamah Syariah dapat dihijrahkan kepada norma baharu yang lebih cekap dan lebih produktif, di samping dapat membantu para hakim dan pegawai mahkamah lebih berfokus, lantas berupaya membuat penghakiman secara lebih cekap,” titah baginda.
Pada masa sama, baginda bertitah, kemuliaan mahkamah bergantung pada pelbagai ‘actors’ atau pemegang watak.
Baginda menjelaskan, di samping para hakim dan pendakwa, peguam bela, saksi, pegawai yang menyediakan bukti dan bahan siasatan, setiap seorang daripada mereka hendaklah bersikap saling membantu ke arah membuktikan kebenaran dan menegakkan keadilan serta mengutamakan kes-kes dapat diselesaikan tanpa berlengah.
“Keadilan yang sejati akan dapat diserlahkan jika pelbagai watak yang muncul di mahkamah menghayati semangat dan mengamalkan falsafah kerja yang mengutamakan fakta dan kebenaran berasaskan keinsafan dan kesedaran bahawa Allah SWT,” titahnya. – KOSMO! ONLINE