KLANG – Tidak perlu timbulkan sebarang polemik berhubung sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah vernakular memadangkan ia telah dibenarkan sebelum ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, berdasarkan pendirian dan keputusan kabinet sebelum ini berkaitan isu tersebut adalah berstatus quo iaitu apa yang diamalkan selama ini boleh dibenarkan untuk sekolah vernakular.
Namun tegasnya, ia perlu memastikan aktiviti sedemikian tidak melibatkan pelajar-pelajar Islam.
“Jadi, hanya ada pihak-pihak yang cuba mengungkit dan mempolitikkan perkara itu dan dijadikan satu polemik.
“Selepas ini, kita jelas keputusan Kabinet sudah dibuat, ada beberapa garis panduan kalau berada dalam premis sekolah, jenama atau logo tak boleh dipaparkan, tetapi program boleh dibuat.
“Tetapi, kalau dekat luar ia tak ada halangan, tetapi kebanyakan program-program dibuat di luar premis sekolah, seperti di restoran dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Sebelum ini, isu sumbangan syarikat arak mencetuskan pertikaian susulan kehadiran Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu dalam majlis amal di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).
Pelbagai pihak kemudian mempertikai dasar kerajaan berhubung kebenaran sebuah syarikat yang disifatkan sebagai tidak mesra kepada pendidikan yang sihat menaja atau mendanai sebarang program atau pembangunan melibatkan sekolah.
Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan memaklumkan isu sedemikian tidak sepatutnya timbul apabila pelbagai pihak seperti pemimpin dan menteri UMNO termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan ia dibenarkan sejak dahulu lagi dan sudah dipraktikkan selama ini.
“Yang terlibat, kebanyakannya yang pergi adalah ibu bapa, bukannya anak-anak murid. Yang hadir tujuannya adalah untuk (pengumpulan) dana dan sebagainya dan sudah dipraktikkan selama ini. Tak menjadi isu pun dalam kalangan bukan Islam,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada kelompongan atau ‘grey area’ terhadap pelaksanaan dasar tersebut.
“Memang selama ini pun, program-program itu tidak melibatkan pelajar Islam, cuma disyaratkan sekarang ini supaya pihak penganjur lebih berhati-hati dan boleh diteruskan, tak menjadi masalah,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE