fbpx

Semakan kenaikan gaji penjawat awam sudah dimuktamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semakan berhubung kenaikan gaji melibatkan 1.5 juta penjawat awam telah dimuktamadkan oleh kerajaan dan akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, proses semakan gaji minimum di bawah Majlis Perundingan Gaji Negara pula akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada masa yang sesuai.

“Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Ekonomi telah memulakan projek rintis Dasar Gaji Progresif.

“Ini bagi membolehkan gaji sektor swasta yang berada pada paras permulaan dan RM5,000 ke bawah ada campur tangan daripada kerajaan untuk memastikan kenaikan gaji secara berkala,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Azhar Ahmad berhubung usaha kerajaan memastikan rakyat tidak terlalu terbeban dengan kos sara hidup yang dilihat semakin meningkat.

Terdahulu, Rafizi berkata, usaha untuk menangani isu kos sara hidup melibatkan dua perspektif iaitu kos yang perlu ditanggung rakyat dan pendapatan yang diperoleh oleh rakyat.

Justeru, katanya, semakan terhadap gaji penjawat awam, semakan terhadap gaji minimum dan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif antara usaha untuk mengatasi isu tersebut.

Tambah beliau, aktiviti-aktiviti berteknologi tinggi juga dijangka akan memberi gaji yang lebih baik melalui penghasilan kerja yang bermutu tinggi.

“Sebagai contoh usaha kerajaan terkini untuk skalakan industri semi konduktor melalui reka cipta telah membuka peluang pekerjaan kepada graduan dengan gaji bermula RM6,500.

“Selain itu, bagi mengurangkan kesan kos sara hidup kepada rakyat, kerajaan memastikan bantuan kepada kumpulan secara bersasar ditambah,” katanya.

Menurut beliau, daripada perspektif kos pula, kerajaan melaksanakan beberapa strategi termasuk meningkatkan bekalan dan jaminan makanan untuk rakyat Malaysia menerusi pelbagai program pertanian di Bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12)

Kata beliau, ia seperti Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024 dengan kos sebanyak RM400 juta bagi pelaksanaan aktiviti pemantapan rantaian makanan dan pengukuhan pemasaran agromakanan.

Ujar beliau, kerajaan turut mempercepatkan usaha memodenkan industri beras negara termasuk pelaburan melebihi RM3 bilion untuk menaikan taraf sumber air, manakala program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun juga dijangka berupaya meningkatkan purata hasil padi beras negara sebanyak 15 peratus.

“Kerajaan juga meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga yang berpatutan dan mengelakkan aktiviti mengaut keuntungan secara berlebihan.

“Strategi yang begini meliputi keseluruhan aspek kos sara hidup rakyat Insya-Allah dapat meringankan beban rakyat dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI