PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil enggan terperangkap dengan permainan persepsi dan fokusnya kini lebih terarah untuk membawa pasukan itu terus berada dalam kelompok elit kancah Liga Malaysia (Liga M).
Di sebalik persoalan dibangkitkan tentang kualiti yang ada pada dirinya dan pasukan, Nidzam bertegas kemahuan semua orang untuk melonjakkan The Red Giants ke satu tahap lebih baik kerana Selangor juga bakal bermain di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
“Saya rasa kita ada peluang untuk meningkat dan kita nak berada di tempat elit contoh JDT (Johor Darul Ta’zim) dan Terengganu. Itu cita-cita kita dan bagi saya ada macam-macam persepsi dalam bola sepak.
“Hari pertama saya dilantik pun sudah ada tetapi saya tidak mahu ‘dikurung’ dengan persepsi begini. Saya fikir buat masa ini saya cuba dapatkan keputusan terbaik, cuba bermain baik dan kekal positif secara berterusan,” katanya.
Pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin, Selangor kembali bangkit mencatat kemenangan dengan menundukkan Penang FC 4-1.
Kesemua gol The Red Giants dihasilkan oleh Mukhairi Ajmal, Yohandry Orozco, Alvin Fortes dan Quentin Cheng, manakala jaringan Penang diperoleh menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Rafael Vitor.
Rabu ini, Selangor akan menentang Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super sebelum melayan kunjungan Terengganu bagi melengkapkan perlawanan timbal balik separuh akhir Piala FA pada 3 Ogos nanti.
“Ada beberapa pemain muda yang masuk dan saya gembira melihat hasilnya. Kami akan harungi minggu penting menentang Sri Pahang dan Terengganu selepas ini.
“Saya beri mesej ringkas kepada pemain dan ingatkan mereka adalah penting untuk kita terus maju ke depan. Kami ada personaliti pemain, jadi bagi saya ia agak merugikan jika kami tidak memanfaatkan kelebihan ini,” katanya.