PETALING JAYA – ‘Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna’. Demikian perumpamaan sesuai daripada maklum balas orang ramai terhadap segelintir pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menyesal mengeluarkan simpanan tersebut.
Berdasarkan tinjauan pada Facebook Kosmo! Online, rata-rata mereka berpandangan bahawa kesilapan langkah mereka mengeluarkan KWSP tanpa berfikir panjang sememangnya akan memakan diri.
Pengguna Facebook, Intan Haslina berkata, hanya kerana wang, ia menyebabkan seseorang itu sentiasa berasa tidak cukup.
“Duit ini berapa banyak yang ada pun memang sentiasa rasa tidak cukup. Waktu duit tengah banyak, macam-macam rasa nak beli. Bila dah habis, baru terasa menyesal. Namun, itulah hakikat kehidupan,” katanya.
Sa Art Saart pula meninggalkan komen dengan sindiran supaya mereka menghabiskan wang KWSP yang dikeluarkan untuk membeli barangan bukan keperluan.
“Habiskan saja semua duit KWSP. Kau orang tak terliur ke nak tukar ‘sport rim’ baharu, beg tangan berjenama dan bercuti sana sini,” komennya.
“Elok lah tu, kalau boleh kau orang habiskan duit tu. Bila orang larang dan nasihat jangan keluar dan simpan untuk hari tua, kau orang marah dan cakap macam-macam. Sekarang kau orang tanggung lah sendiri,” kata Star War.
“Zaman sekarang kau ada RM10,000 pun kejap saja habis kalau tak guna dengan betul. Kalau beli emas okay,” kata Penyengat Laut Dalam.
Kosmo! hari ini melaporkan rata-rata pencarum KWSP menyesal dan mengakui telah tersilap langkah apabila membuat pengeluaran wang menerusi pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini.
Menurut mereka, kebanyakan wang yang dikeluarkan sebelum ini sama ada menerusi i-Lestari, i-Citra dan i-Sinar telah habis digunakan, sekali gus memberi kesan kepada jumlah keseluruhan caruman sedia ada.
Situasi itu menyebabkan ada pencarum yang memilih untuk tidak memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera atau Akaun 2 ke Akaun Fleksibel. – KOSMO! ONLINE