fbpx

Sedih difitnah, Laudya Cynthia Bella nafi jadi isteri ketiga pendakwah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAUDYA menafikan khabar angin sudah bernikah dengan Ustaz Muhammad Nuzul Dzikri.

TIDAK berdiam diri, pelakon Indonesia Laudya Cynthia Bella tampil menafikan khabar spekulasi liar kononnya sudah bergelar isteri ketiga kepada seorang pendakwah terkenal, Ustaz Muhammad Nuzul Dzikri, 41, seperti yang heboh diperkatakan ramai sejak semalam.

Menerusi seorang individu dipercayai sahabat baiknya, Laudya yang juga bekas isteri ahli perniagaan Malaysia, Engku Emran Engku Zainal Abidin itu meluahkan kekesalan berhubung penyebaran berita palsu tersebut.

Menerusi laman sosial, individu yang dikenali sebagai Kaditya Ayu menjelaskan aporan pernikahan bintang Syurga Yang Tak Dirindukan yang dikatakan berlangsung pada 28 Julai 2024  (Ahad) adalah palsu.

Katanya, aktres berusia 36 tahun itu turut berasa sedih apabila sering menjadi mangsa fitnah pihak tidak bertanggungjawab.

“Bella cakap dia sedih dengan berita tak sahih yang viral dalam media sosial.

“Bella juga izinkan saya untuk memberitahu perkara sebenar kepada umum,” katanya.

Terdahulu, seorang pengguna Instagram mengaku sebagai saudara terdekat Nuzul Dzikri memuat naik ucapan tahniah atas perkahwinan pendakwah terbabit dengan Laudya.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian seorang pemilik akaun lain yang berkongsi semula hantaran tersebut tampil memohon maaf dan memaklumkan berita disampaikan tidak benar.

Ini bukan kali pertama dia didakwa menamatkan status janda kerana sekitar dua tahun lalu, Laudya pernah digosipkan berkahwin dengan lelaki asal Dubai, namun akhirnya disahkan sebagai berita palsu.

Laudya mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran yang juga bekas suami pelakon Erra Fazira pada September 2017 namun mereka bercerai pada Julai 2020. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI