ALOR GAJAH – Rumah kampung terbiar di beberapa kawasan perkampungan di daerah ini dilaporkan menjadi markas kegiatan judi dalam talian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, susulan itu pihaknya telah meningkatkan pemantauan di lokasi terlibat termasuk di Kampung Ramuan China Besar.
“Kita juga ada dilakukan serbuan di sebuah rumah kampung kira-kira pukul 5.15 Sabtu lalu, namun didapati premis berkenaan kosong.
“Bagaimanapun, pihak polis akan terus membuat pemantauan di lokasi ini susulan dakwaan mengatakan ia menjadi premis judi online,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial Facebook sejak semalam mendakwa terdapat pergerakan mencurigakan dipercayai sindiket judi dalam talian di beberapa rumah kampung di daerah itu.
Selain itu, beberapa lagi lokasi lain turut didakwa menjalankan jenayah sama termasuk bangunan rumah kedai dan restoran tomyam sekitar Masjid Tanah. – KOSMO! ONLINE