KEMAMAN – Seorang pelajar tingkatan empat terlantar di wad hospital sejak seminggu lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di pekarangan sekolahnya didakwa akibat menghisap rokok elektronik atau vape jenis ‘magic mushroom’ minggu lalu.
Kejadian menimpa remaja berusia 16 tahun pada pukul 10.30 pagi, 22 Julai lalu itu didakwa disebabkan mangsa mengambil vape ‘magic mushroom’ secara berlebihan.
Sumber berkata, mangsa yang rebah dan terkena sawan kemudian dikejarkan ke sebuah klinik kesihatan di daerah ini untuk menerima rawatan.
“Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Kemaman dan masih ditempatkan di wad hospital itu sehingga hari ini,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Sumber berkata, keluarga mangsa yang bimbang akan keselamatan remaja itu telah membuat laporan polis pada Jumaat lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan mengesahkan menerima laporan tersebut.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong bagaimanapun menafikan sawan dialami mangsa disebabkan pengambilan vape secara berlebihan.
Beliau berkata, setakat ini, pemeriksaan klinikal tidak menemui sebarang bahan kimia berkaitan vape pada tubuh remaja tersebut. – KOSMO! ONLINE