PARIS – Jawatankuasa Olimpik Mesir (EOC) mengesahkan bahawa perubahan dan hormon fisiologi menjadi punca utama peninjunya, Youmna Ayyad ‘tersingkir’ awal di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum sempat turun ke gelanggang.
Youmna berdepan detik malang selepas diarahkan meninggalkan temasya berprestij berkenaan kerana gagal mencapai berat badan untuk acara 54 kilogram (kg) apabila lebih 900 gram daripada had yang ditetapkan penganjur.
Ia sekali gus menafikan hajatnya untuk mempamerkan kemampuannya dan cuba mencipta kejutan apabila dia sepatutnya dijadualkan menentang peninju pilihan dari Uzbekistan, Nigina Uktamova.
EOC menjelaskan bahawa Youmna dan staf teknikal tidak terbabit daripada sebarang salah laku selepas mencipta sejarah sebagai petinju wanita pertama Mesir layak beraksi di pentas Olimpik.
“Setibanya di Paris, Youmna mengalami peningkatan berat badan disebabkan perjalanan dan penerbangan. Kemudian dia berjaya memenuhi keperluan berat badan selepas mengikuti program khas pada hari sebelum pertandingan selepas tiba di Paris.
“Pada waktu pagi, ketika dia menjalani timbang rasmi, beratnya melebihi had sebanyak 900 gram dan dia disingkirkan.
“Dia terkejut dengan perubahan fisiologi dan hormon yang difahami oleh semua wanita dan doktor. Namun, kami memilih untuk tidak mendedahkan butiran lanjut mengikut tradisi Mesir dan juga bagi melindungi hak peninju,” menurut kenyataan EOC. – AGENSI