PERJUANGAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah memburu tempat ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 kembali terbuka selepas bangkit mencatat kemenangan ke atas pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara semalam.
Pada aksi Kumpulan A di Porte de la Chapelle Arena, beregu negara itu berjaya menebus kekecewaan tewas aksi pembukaan ke atas gandingan No. 1 dari China kelmarin dengan mempamerkan kebangkitan luar biasa ketika berdepan lawan dari Jepun tersebut.
Pearly-Thinaah bermula baik dan berpeluang untuk melakar kemenangan mudah ketika berdepan gandingan ranking No. 6 dunia tersebut selepas mendahului permainan dengan cukup baik.
Bagaimanapun, mereka bergelut selepas ditentang hebat lawannya itu dalam pertarungan sengit yang diheret sehingga ke rubber-set sebelum menang 18-21, 21-15, 21-16 dalam tempoh 77 minit.
Kesilapan pada set pertama membuatkan peminat badminton tanah air berasa tidak senang duduk untuk melihat gandingan beregu wanita negara itu melepasi aksi Kumpulan A yang dianggap sebagai kumpulan maut.
Juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu kemudiannya mengatur permainan lebih sempurna sebelum bangkit mengatasi lawannya itu dalam pertarungan tiga set.
Terdahulu, pada perlawanan pertama saingan Kumpulan A, prestasi Pearly-Thinaah belum cukup memuaskan untuk menembusi kekebalan pasangan China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan selepas tewas 17-21, 20-22 dalam masa 53 minit.
Selepas ini, beregu wanita di ranking ke-13 dunia itu perlu merekodkan kemenangan ke atas gandingan terbaik Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti untuk layak ke suku akhir.
Ia tidak mudah kerana Apriyani turun dengan status selaku juara bertahan selepas memenangi pingat emas edisi Tokyo 2020 bersama Greysia Polli yang kini bersara dan menyebabkan dia membentuk gandingan dengan Siti Fadia sejak Mei 2022.