KUALA LUMPUR – Perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei, memulakan kempen di pentas Sukan Olimpik Paris dengan langkah kanan selepas mudah menundukkan pemain Afrika Selatan, Johanita Scholtz dalam aksi pertama Kumpulan H, hari ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Porte De La Chapelle Arena itu, Jin Wei yang turun selaku pemain ranking No. 32 dunia itu hanya memerlukan 30 minit untuk mencatat kemenangan straight set 23-21, 21-11 ke atas lawannya itu.
Hasil kemenangan tersebut, Jin Wei akan menentang pemain No. 17 dunia dari Korea Selatan, Kim Ga Eun untuk menentukan juara kumpulan dan seterusnya melangkah ke pusingan seterusnya.
“Sedikit tertekan apapun saya gembira dapat kawal untuk melakar kemenangan pertama pada hari ini. Pada set kedua perlawanan, saya mula mendapat rentak dan kawal permainan dengan baik,” katanya.
Terdahulu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terus mempamerkan sinar di Paris apabila melangkah ke pentas suku akhir sebagai juara Kumpulan D dengan mencatat kemenangan bersih dalam tiga perlawanan.
Pasangan negara itu berjaya apabila menumbangkan pasangan ranking No. 2 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China 17-21, 21-15, 21-16 dalam perlawanan yang mengambil masa 1 jam 10 minit. -KOSMO! ONLINE