fbpx

Olimpik Paris: Hannah mahu atlet terus semangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH (dua dari kiri) menyertai menghadiri pelancaran Larian Amal AEON di Anjung Floria di Putrajaya semalam.

ATLET negara yang sedang berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 dinasihat terus bersemangat untuk memburu emas pertama negara di temasya sukan terbesar dunia itu biarpun dua atlet negara terkandas awal.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menuntut agar atlet negara terutama yang di bawah program Road To Gold (RTG) memberi tumpuan 100 peratus ketika berada di bumi Perancis.

Semalam, perenang acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki, Khiew Hoe Yean yang membuat penampilan sulung di Olimpik atas tiket wildcard gagal untuk ke final.

Penembak negara, Johnathan Wong juga terpaksa pulang kecewa kerana turut kandas pada aksi kelayakkan yang menghalang usahanya untuk melayakkan diri ke pentas final.

“Saya berharap atlet yang masih bertanding untuk memanfaatkan masa yang ada di Paris dengan sepenuhnya kerana setiap hari itu sangat bernilai.

“Saya juga berharap atlet-atlet dibawah program RTG untuk terus yakin kerana mereka sudah diberikan (perkhidmatan) yang terbaik,” katanya kepada media selepas hadir Larian Amal AEON di Anjung Floria di Putrajaya semalam.

Hannah dalam masa yang sama turut mengucapkan terima kasih kepada Hoe Yean dan Johnathan atas usaha keras mereka di Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Hannah, dia akan berangkat ke Paris pada 31 Julai ini untuk memberikan semangat kepada baki atlet yang akan bertanding di temasya berprestij itu.

Malaysia menghantar seramai 26 atlet pada edisi kali ini dan atlet yang masih berjuang ialah pemanah negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Mohd Fazil; pemain badminton Lee Zii Jia, Goh Jin Wei, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M. Thinaah, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei; penerjun Nur Dhabitah Sabri , Bertrand Rhodict Lises dan atlet renang, Tan Rouxin.

Pelumba berbasikal lebuh raya Nur Aisyah Mohamad Zubir, atlet basikal trek, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri; pemain golf, Gavin Green dan Ashley Lau; angkat berat Muhammad Aniq Kasdan; atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad dan Khairulnizam Mohd Afendy dan pelari pecut Muhammad Azeem Fahmi.

Pada majlis itu, Hannah bersama Presiden Yayasan AEON Malaysia, Datuk Iskandar Sarudin menyampaikan sumbangan terkumpul berjumlah RM1 juta ringgit kepada program AEON KASiH yang bermatlamat untuk membantu golongan B-40 yang memerlukan bantuan dari segi kos perubatan atau rawatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN