PARIS – Penembak China, Huang Yuting dan Sheng Lihao berada dalam kelas tersendiri apabila dikalung pingat emas pertama untuk temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang membuka tirainya secara rasmi kelmarin.
Dalam aksi final, duo remaja itu tampil cemerlang apabila menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Keum Ji-hyeon dan Park Ha-jun dalam final acara 10m air rifle berpasukan campuran dengan kemenangan 16-12 di Pusat Menembak Kebangsaan Perancis, Chateauroux.
“Ketika pasangan Korea mengejar, saya tidak terlalu memberi perhatian kerana cuba untuk menenangkan diri dan memberitahu diri sendiri bahawa saya perlu melakukan apa sahaja yang saya mampu lakukan,” kata Lihao.
Bagaimanapun, Yuting mengakui mula gemuruh apabila gandingan Korea Selatan itu mula mengejar sekali gus memaksanya untuk kekal fokus agar tidak menjejaskan prestasi semasa perlawanan.
“Saya cuba untuk kekal fokus pada pergerakan dan pertandingan serta cuba mendapatkan tenaga positif,” katanya.
Sebagai rekod, Lihao merupakan pemenang pingat perak termuda pada usia 16 tahun dalam acara individu di Tokyo 2020 sementara Yuting beraksi untuk penampilan sulungnya di Sukan Olimpik.
Seterusnya, Yuting dan Lihao akan meneruskan cabaran untuk memenangi pingat emas kedua buat China dan menyatakan bahawa keputusan acara berpasukan tidak mempengaruhi saingan individu mereka. – AGENSI