fbpx

Melaka fokus tindakan segera isu temurun banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEJADIAN banjir kilat yang berlaku di Lebuh Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini menyebabkan beberapa buah kenderaan terkandas.

MELAKA – Kerajaan negeri ini akan menghimpunkan semua agensi terlibat dalam mendapatkan penyelesaian secara total berkenaan isu banjir kilat di beberapa kawasan ‘temurun’ termasuk Lebuh Ayer Keroh, dalam kadar segera.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia susulan kekerapan kejadian banjir kilat dilaporkan berlaku di lokasi sama setiap kali hujan lebat melanda.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri akan mengetuai perbincangan untuk mencari solusi tersebut termasuk merangka pelan pembaikan serta peruntukan diperlukan.

“Baru-baru ini kita adakan perbincangan dan (isu banjir kilat) berada dalam pengetahuan sekian lama, kita pun dah arahkan PBT serta JKR untuk dapatkan solusi tuntas khusus di kawasan Ayer Keroh yang banjir setiap kali hujan lebat berterusan berlaku dalam tempoh tiga jam.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan, Kerk Chee Yee pun ada sekali, jadi dalam tempoh terdekat ini kita panggil semua pihak untuk dapatkan solusi yang tuntas supaya isu banjir kilat ini tidak lagi dibangkitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program penyerahan sumbangan bot penyelamat kepada Balai Polis Tanjung Minyak, hari ini.

Mengulas lanjut kekerapan banjir kilat di Lebuh Sungai Udang – Paya Rumput – Ayer Keroh (SPA) sejak 10 tahun lalu, beliau berkata kawasan tersebut dikenalpasti sebagai lembah dan saluran disediakan tidak dapat menampung kapasiti air hujan serta sisa kilang yang dibuang dalam masa sama.

“Kebelakangan ini kawasan itu kerap banjir kerana ia lembah, air dari kawasan kilang turun dan dalam masa sama longkang sedia ada tidak dapat menampung air yg banyak lalu menyebabkan limpahan.

“Ketika ini kita nasihatkan agar rakyat Melaka tidak meneruskan perjalanan dan mengambil risiko melalui kawasan-kawasan yang kerap banjir ini sewaktu hujan lebat,” ujarnya.

Kata Rais, perbincangan itu juga perlu melalui beberapa peringkat bagi mengumpul maklumat secara teknikal sebelum memutuskan peruntukan yang diperlukan untuk pelaksanaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI