LOS ANGELES – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag berdepan situasi memeningkan apabila penyerang Rasmus Hojlund dan pemain baharunya, Leny Yoro mengalami kecederaan pada aksi persahabatan menentang Arsenal di Stadium SoFi, Los Angeles semalam.
Pada aksi pemanas badan pramusim itu, Arsenal mempamer kebangkitan untuk memastikan kemenangan 2-1 dan ia seakan memberi amaran buat Ten Hag merangka persiapan lebih baik sebelum saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) membuka tirai bulan depan.
Dalam aksi itu, Hojlund memulakan perlawanan dengan agak positif apabila membuka jaringan seawal minit ke-10, namun penyerang Denmark tersebut terpaksa dikeluarkan dan dilihat terus memasuki bilik persalinan.
Hojlund yang kini memakai jersi nombor sembilan akan terus dipantau dan dijadualkan perlu menjalani ujian imbasan bagi mendapatkan kepastian sebenar mengenai tahap kecederaan kaki tersebut.
Pastinya, Ten Hag mengharapkan tiada kecederaan serius dialami Hojlund kerana ia mampu memberikan kesan negatif kepada pasukannya.
“Saya fikir tahap permainan kami bagus pada perlawanan ini. Kami juga berjaya mencipta peluang dan saya fikir di babak pertama kami adalah pasukan yang lebih baik.
“Sudah pasti masih terlalu singkat untuk mengetahui tentang kecederaan itu dan kami perlu menanti sekurang-kurangnya bagi tempoh 24 jam. Kami akan mengambil berat khususnya buat Leny (Yoro) dan lebih baik kita kekal positif buat masa ini,” kata Ten Hag.
Sebagai rekod, debut Hojlund bersama The Red Devils musim lalu boleh dianggap cemerlang kerana berjaya menjaringkan 16 gol dalam 43 penampilan. – AGENSI