KLANG – Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) melibatkan 20 stesen akan bermula beroperasi seawal-awalnya pada Ogos tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jangkaan terbaharu tersebut adalah lewat berbanding disasarkan pada Mac tahun depan susulan terdapat kerja-kerja yang tidak dapat dilakukan semasa pandemik Covid-19 sebelum ini.
Katanya, setakat ini kerja-kerja fizikal termasuk beberapa stesen besar dan pertukaran telah siap 95.6 peratus dan selesai Oktober ini.
“Selepas itu, akan disusuli kerja-kerja berkaitan integrasi sistem yang dijangka mengambil masa beberapa bulan sehingga awal bulan depan.
“Kita kemudiannya meneruskan dengan percubaan dan komersial yang akan mengambil masa antara tiga hingga empat bulan. Jadi, kita jangka LRT3 akan siap sepenuhnya dan mula operasi pada Ogos atau September tahun depan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau stesen LRT3 Pasar Jawa, di sini hari ini.
Menurut beliau, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Julai lalu turut bersetuju mengembalikan skop asal LRT 3 dari Bandar Utama ke Johan Setia dengan melibatkan lima stesen iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik.
Ujarnya, pengembalian lima stesen tersebut adalah bersama dengan pembelian tambahan tujuh set tren tiga gerabak,pembesaran depoh tren di Johan Setia dan pembelian 150 buah bas elektrik untuk penghantaran serta pembinaan tiga depoh bas.
“Ini akan menelan kos keseluruhan tambahan berjumlah RM3.8 billion. Sebelum ini tidak termasuk bas pengantara namun kita melihat ada keperluan supaya penginterasian antara stesen pertama dan terakhir (LRT3) ini dapat ditambah baik.
“Tambahan bagi skop asal dan kerja-kerja lain akan mengambil masa dua tahun. Namun, tidak akan memberikan kesan kepada tarikh pembukaan dan operasi bagi 20 stesen (awal) tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tambahan skop asal lima stesen ini membuktikan komitmen kerajaan untuk terus menambah baik dan menyumbangkan kepada penggunaan pengangkutan awam khususnya di Lembah Klang.
“Ini memandangkan laluan tersebut akan memberikan perkhidmatan beberapa kawasan yang padat dengan penduduk dari Bandar Utama, Shah Alam dan Klang yang sebelum ini tiada sistem LRT.
“Kapasiti LRT3 adalah lebih 300,000 setiap hari seterusnya memberikan pilihan kepada orang ramai dan selaras hasrat jangka panjang kerajaan dalam mengurangkan kesesakan jalan raya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE