fbpx

KPDN Pulau Pinang lupus barang rampasan bernilai RM2.34 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jegan (kiri) pada Program Pelupusan Ekshibit Mega KPDN Pulau Pinang di Bukit Minyak, hari ini.

SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang hari ini melupuskan 49,488 unit pelbagai barangan rampasan bernilai RM2.34 juta.

Semua barangan tersebut adalah hasil rampasan dari awal tahun ini sehingga Jun lalu selepas selesai menjalani proses pendakwaan dan pengkompaunan.

Pengarahnya, S.Jegan berkata, antara barangan yang dilupuskan terdiri daripada pelbagai jenama seluar, baju, kasut, topi, produk makanan, produk penjagaan kesihatan, aksesori serta peranti elektronik tiruan.

“Kesemua barangan itu hasil rampasan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Berdasarkan rekod, sepanjang tahun lalu kita telah melupuskan pelbagai barangan membabitkan 94 kes bernilai RM898,155.88 manakala bagi tahun 2022, barangan melibatkan 29 kes bernilai RM 541,142.45 berjaya dilupuskan,” katanya pada sidang akhbar pada Program Pelupusan Ekshibit Mega KPDN Pulau Pinang di Bukit Minyak, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bermula dari 1 Januari sehingga 30 Jun lalu, pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan terhadap 22,143 premis dan 233 tindakan kes dihasilkan melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM1.58 juta.

“Sebanyak RM94,600 nilai kompaun telah dikeluarkan melibatkan 124 kes manakala tiga kes pula melibatkan tindakan pendakwaan di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda berjumlah RM52,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI