fbpx

Diserang asma, lelaki maut Pajero terbabas jatuh sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Pajero dipandu mangsa yang terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Teluk Jering, Kampung Teluk Jering dekat Tumpat hari ini. Foto oleh ROHANA ISMAIL/KOSMO!

TUMPAT – Seorang lelaki dipercayai terkena serangan asma semasa memandu maut selepas trak pikap yang dia pandu terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Teluk Jering, Kampung Teluk Jering, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, trak pikap jenis Mitsubishi Pajero dipandu Che Azizi Shah Abdul Aziz, 32, terbabas dan merempuh pagar jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai.

Bapanya, Abdul Aziz Che Hak, 60, berkata, anaknya keluar memancing bersama rakannya di Kuala Jambu di sini pagi tadi dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Cherang Melintang.

Menurutnya, dia percaya mangsa berkemungkinan diserang asma semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar rakan.

“Ada ubat sedutan asma (inhaler) bersamanya ketika kejadian. Dia menghidap asma sejak kecil,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Teluk Jering.

Sementara itu, penduduk kampung, Nazma Abdul Rahman, 39, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan anaknya, Aira Fatihah Zaidi, 4, sewaktu sedang bersiap untuk membuka kedai kopi.

“Saya dengar bunyi dentuman seperti kenderaan merempuh pagar, namun saya abaikan. Tiba-tiba anak beritahu dia nampak ada sebuah kenderaan terjatuh dalam sungai yang terletak tujuh meter dari kedai saya,” ujarnya.

Nazma memberitahu, dia yang berasa tidak sedap hati meminta anak saudaranya, Aiman Afnan Zamri, 24, menyelam ke dalam sungai tersebut.

“Hasil selaman Aiman Afnan menjumpai sebuah trak pikap di dalam sungai tersebut. Tidak lama kemudian kenderaan itu timbul sebelum bomba dan polis tiba,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI