KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri (KLN) sebagai penyelaras Tonggak Politik-Keselamatan sedang giat melakukan persiapan dari segi substantif mahupun logistik untuk Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini akan membuka satu lembaran baharu untuk Malaysia memandangkan sebagai Pengerusi, Malaysia akan memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju ASEAN bagi mengharungi cabaran-cabaran semasa dan di masa hadapan.
“Kementerian ini menyedari kepentingan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, selaras dengan nilai dan identiti ASEAN yang berpaksikan rakyat.
“Antara persediaan di bawah Tonggak Politik-Keselamatan yang diterajui oleh Kementerian Luar Negeri termasuk program seranta dan diplomasi awam di seluruh Malaysia termasuk di institusi pengajian tinggi awam, swasta, sekolah menengah dan rendah serta Program Madani Rakyat yang akan dianjurkan dan disertai oleh KLN sepanjang tahun ini.
“Penganjuran reruai (pameran) ASEAN sempena Hari Terbuka Putrajaya yang telah berlangsung dari 1 hingga 4 Februari lalu dan Pertandingan Mereka Cipta Logo Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia,” katanya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang ingn tahu apakah persediaan dan program yang bakaldianjurkan oleh Kementerian dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Tambah Mohamad, antara persediaan lain yang dilakukan kementeriannya adalah, penggunaan media dan publisiti pula bermula sejak Februari 2024, KLN telah memuat naik sepanduk digital, atau dengan izin, ebanner mengenai Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di portal rasmi KLN
Malah katanya, kerjasama dari segi promosi dan publisiti dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbandaran Putrajaya, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Daerah Sabak Bernam turut dilakukan. – KOSMO! ONLINE