KUALA LUMPUR – Kadar inflasi mencatatkan peningkatan dengan kadar yang lebih perlahan dalam tempoh separuh pertama 2024 iaitu sebanyak 1.8 peratus.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, peningkatan kadar inflasi bagi tempoh sama pada tahun sebelum adalah 2.5 peratus.
“Penyederhanaan inflasi dinilai berdasarkan peningkatan kadar harga barangan dan perkhidmatan yang lebih perlahan dan lebih stabil, bukan bermakna disebabkan oleh penurunan paras harga secara keseluruhan.
“Apabila kita lihat kepada `bakul-bakul’ barang dan perkhidmatan memang ada yang menurun, tetapi sebahagian besar kenaikan itu menyederhana sejak 12 bulan lepas,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Azhar Ahmad tentang langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam memastikan kadar inflasi dapat dikawal.
Rafizi berkata, kerajaan sedar bahawa kos sara hidup masalah yang perlu ditangani dengan berkesan dan ia adalah masalah yang sama berlaku di seluruh dunia.
Menurut beliau, sebahagian faktor disebabkan peningkatan kos pengeluaran yang disebabkan oleh kenaikan kos operasi dan ketidaktentuan bekalan serta pasaran.
Kata beliau, faktor lain termasuk isu geopolitik terutama selepas dunia dilanda pandemik Covid-19 dan juga ketidaktentuan kadar tukaran mata wang asing. – KOSMO! ONLINE