JERANTUT – Seorang isteri kini terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga apabila suaminya diserang strok sejak empat tahun lalu.
Suriana Ismail, 42, yang menetap di Felda Sungai Tekam Utara di sini, kini hanya mengharapkan jualan nasi lemak bagi membiayai rawatan suami, Mohd. Shamsul Zakaria, 52.
Selain itu, wanita tersebut juga perlu menampung keperluan harian keluarga dan kos persekolahan tiga anak mereka berusia 4 hingga 22 tahun.
“Pendapatan jualan nasi lemak setiap hari hanya sekitar RM100 dan ia masih tidak mencukupi untuk membeli susu dan peralatan kebersihan termasuk persekolahan anak dan bayaran bil di rumah,” katanya semalam.
Suriana berkata, suaminya diserang penyakit strok empat tahun lalu apabila tidak dapat bangun daripada kerusi selepas pulang kerja.
Ekoran itu, dia membawa suaminya mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Jengka dan doktor mengesahkan suaminya diserang strok sebelum meneruskan rawatan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.
“Selepas seminggu berada di Hoshas, suami kemudian dibenarkan pulang ke rumah, namun dia hanya terlantar di atas katil dan tak mampu bercakap,” ujarnya.
Dia memberitahu, suaminya cuma diberikan makanan susu dengan harga RM119 setin sebanyak enam kali sehari yang hanya bertahan untuk tempoh selama tiga hari.
“Selain itu, peralatan kebersihan diri juga perlu disediakan seperti lampin pakai buang dan sebagainya, mana mampu saya hendak menyediakan kebajikan suami dengan pendapatan tidak seberapa,” katanya.
Tambahnya, dia bersyukur apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan pemberian Kad Orang Kurang Upaya kepada suami dengan bantuan bulanan sebanyak RM500.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 019-9430412 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 06037022993510 atas nama Suriana Ismail.