PENYANDANG juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus rancak berbelanja apabila memperkenalkan seorang lagi bintang import, Enzo Lombardo dalam usaha untuk memperkuatkan jentera serangan musim ini.
Pengumuman kemasukan pemain kelahiran Perancis itu dibuat secara rasmi menerusi hantaran video yang disiarkan di laman Facebook rasmi kelab berkenaan, Johor Southern Tigers malam tadi.
Lombardo, 27, menyertai JDT daripada kelab divisyen 2 Sepanyol, SD Huesca, akan menyarung jersi nombor 7 yang sebelum ini disarung pemain termahal Liga Malaysia (Liga M), Jalil Elias.
Ia seakan memberi bayangan bahawa Elias yang menyertai skuad Harimau Selatan pada awal musim ini daripada kelab Argentina, San Lorenzo tidak lagi bersama juara Liga Super 10 musim berturut-turut itu.
Elias yang merupakan pemain tengah Syria, hanya membuat satu penampilan bersama JDT pada musim ini.
Kelmarin, JDT mengumumkan ketibaan tonggak pertahanan import baharu dari Korea Selatan, Park Jun Heong.
Kehadiran kedua-dua pemain import itu bagi memperkuatkan pasukan menghadapi saingan Liga Juara-juara AFC (ACL) Elit yang membuka tirainya pada September depan. – KOSMO! ONLINE