fbpx

Jalan seperti ‘bulan’ di Sabah, saya tidak tutup mata – Alexander

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander ketika meninjau keadaan beberapa jalan yang rosak ketika mengadakan lawatan di Tawau, Sabah semalam.

PETALING JAYA – Menteri Kerja Raya menafikan tanggapan sesetengah individu bahawa pihaknya mengabaikan keperluan rakyat di Sabah sehingga ada yang mengatakan jalan raya di Sabah seperti di bulan.

Ini kerana kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, bagi tahun ini sahaja Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM130 juta bagi kerja-kerja penyenggaraan Berkala Pavemen dan Bukan Pavemen Jalan Persekutuan di Sabah.

Daripada jumlah itu katanya, sejumlah RM9.979 juta telah diperuntukkan untuk daerah Tawau.

“Kalau sebut jalan raya ‘seperti di bulan’, yang paling kerap ditularkan adalah jalan raya di Sabah. Rakan-rakan ahli Parlimen dari Sabah juga ada yang datang sendiri kepada saya melaporkan perkara yang sama.

“Saya tidak tutup mata, hari ini (senalam) saya turun ke Tawau Sabah untuk meninjau antara lokasi yang sering dibawa ke perhatian saya – jalan Persekutuan R13 Jalan Sandakan – Tawau iaitu laluan ke Lapangan Terbang Tawau yang mengalami kerosakan struktur jalan dan pembetung,”tulisnya di laman Facebook semalam.

Alexander berkata, di Seksyen 249.77 sepanjang 0.55 km laluan itu, beliau melihat sendiri kerosakan struktur jalan yang memerlukan pembaikan segera.

“Saya telah meluluskan peruntukan RM1 juta bagi pelaksanaan kerja ini.

“Lokasi kedua pula iaitu di Seksyen 256.295 laluan sama, kegagalan pembetung telah menyebabkan satu laluan terpaksa ditutup. Peruntukan sebanyak RM1.506 juta telah diluluskan bagi kerja pembaikan di lokasi berkenaan,”ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, banyak lagi lokasi di Tawau yang memerlukan tindakan segera.

“Saya dan seluruh pasukan KKR mencuba sebaik mungkin untuk mempertingkatkan mutu jalan raya persekutuan bersandarkan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat.

“Pada masa yang sama, saya tekankan kepada konsesi penyenggaraan untuk mengekalkan momentum pembinaan dan penyenggaraan jalan raya dengan mutu, kos, dan masa yang terjamin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI