MUAR – Seorang isteri merayu suaminya agar segera pulang ke pangkuan keluarga selepas gagal dihubungi setelah keluar bekerja pada 25 Julai lalu.
Muhammad Faez Zainuddin, 33, keluar dari rumahnya di Kampung Parit Haji Anuar, Air Hitam di sini pada pukul 8 malam.
Menurut Hasnah Hussin, 29, sebelum kejadian, suaminya ada memaklumkan dia mempunyai tugasan luar (outstation) untuk menghantar barang ke Klang, Selangor.
“Biasanya jika ada ‘outstation’ atau kerja, suami bawa motosikal untuk mengambil lori yang diletakkan dua kilometer dari rumah kami.
“Tetapi malam itu, dia keluar dengan menaiki kereta jenis Kia Cerato berwarna kelabu bernombor pendaftaran WA 5152B. Dia beritahu hendak hantar barang ke Klang.
“Tidak lama selepas itu, kelindan dan majikan ada menghubungi saya bertanyakan di mana keberadaan Muhammad Faez. Saya terkejut sebab dia keluar nak ambil lori,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Hasnah berkata, dia dan ahli keluarga yang lain cuba menghubungi telefon bimbit Muhammad Faez namun gagal selain cuba menjejaki laluan biasa ke tempat lori diletakkan.
Susulan itu, wanita tersebut membuat laporan di Balai Polis Parit Sulong, Batu Pahat pada 26 Julai lalu.
“Sehari sebelum kejadian, kami ada berselisih faham tetapi hal kecil sahaja, biasalah suami isteri. Malam sebelum keluar dia bersalaman seperti biasa dengan saya dan anak kami yang berusia setahun sebulan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubunginya di talian 017-3076224 atau melaporkan ke balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE