fbpx

Ika Ekora, suami cederakan anak dijel 8 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ika Ekora. FACEBOOK

PASIR MAS – Seorang usahawan kosmetik dan suaminya dihukum penjara lapan bulan bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah mencederakan anak perempuan mereka, tiga tahun lalu.

Majistret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurul Atikah Hanafi, 36, atau Ika Ekora dan suaminya, Mohd. Hairie Razali, 36, selepas mereka memilih untuk menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan semula hari ini.

Prosiding tersebut pada awalnya dijadualkan untuk pembacaan keputusan penghakiman kes selepas semua saksi pembelaan dipanggil untuk memberikan keterangan.

Rais Imran dalam penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti segala keterangan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan yang dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang prosiding perbicaraan berlangsung.

“Proses perbicaraan kes ini yang melibatkan pihak pendakwaan dan peguam bela sudah mengambil masa yang lama kerana tertuduh mengaku tidak bersalah.

“Mahkamah hari ini bersedia untuk membuat dapatan, namun kedua-dua tertuduh memilih untuk mengaku bersalah sebelum keputusan mahkamah dibacakan.

“Selepas meneliti semua keterangan sepanjang perbicaraan, kedua-dua tertuduh didapati bersalah dan disabitkan atas pertuduhan tersebut dan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan bermula hari ini,” kata majistret itu.

Pasangan suami isteri itu dituduh di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaaan terhadap anaknya yang berusia 16 tahun 3 bulan semasa kejadian.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Pauh di sini kira-kira pukul 4.30 petang, 14 Jun 2021.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sesyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak kurang RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi Seksyen 326A, sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara bagi tempoh yang boleh dilanjutkan hingga dua kali dari jangka masa maksimum.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin dan Mahfuzah Hamizah Mohd. Ariff, manakala tertuduh diwakili Hasif Hassan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM9,000 untuk setiap tertuduh dengan seorang penjamin selain kedua-dua tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Pasir Mas dua kali sebulan.

Terdahulu, Abu Arsalnaa memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada kedua-dua tertuduh demi menjaga kepentingan awam agar tidak sewenang-wenangnya mencederakan anak.

“Saya memohon satu hukuman yang menggentarkan tertuduh dan orang awam agar tidak mudah menyebabkan kecederaan terhadap anak pada masa akan datang.

“Anak-anak yang merupakan amanah sepatutnya dijaga dan diberi kasih sayang oleh ibu bapa. Bukannya mencederakan mereka,” katanya.

Hasif dalam rayuannya memohon hukuman tersebut ditangguh ke tarikh lain, namun pihaknya akan terus membuat rayuan jika pihak mahkamah menjatuhkan hukuman pada hari ini.

Akhbar Kosmo! pada 17 Jun 2021 melaporkan, berang dengan status yang dimuat naik anaknya di aplikasi WhatsApp dipercayai punca seorang usahawan kosmetik hilang sabar lalu memukul mangsa dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Pauh, di sini.

Lebih malang lagi, remaja perempuan berusia 16 tahun tersebut turut dipukul oleh bapa tirinya yang berusia 33 tahun ketika kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI