IPOH – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata umat Islam juga perlu terbuka untuk berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam untuk memastikan kedua-duanya pihak dapat memahami dan menerima antara satu sama lain.
Perdana Menteri berkata, orang Islam hari ini tidak boleh mengetepikan penglibatan bangsa dan agama lain dalam membincangkan apa-apa perkara.
Beliau menegaskan perbincangan mengenai agama, budaya dan tamadun lain adalah perlu bagi membentuk persefahaman terutama dalam konteks negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.
“Kita juga perlu melihat diri kita apabila bercakap tentang ketamadunan. Sebab itu saya mahu usaha dibuat untuk melibatkan pihak lain.
“Bagaimana hendak bertahan dan hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang agama seperti Malaysia dan mengelakkan berbincang dengan agama, budaya dan tamadun lain. Kemudian menuntut Barat untuk memahami kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 yang berkenan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.
Anwar berkata, masalah yang membelenggu masyarakat pada hari ini adalah kerana sikap tidak mengambil peduli, yang sekali gus menerbitkan perasaan negatif dan penolakan terhadap kumpulan lain yang berbeza latar belakang. – KOSMO! ONLINE