PETALING JAYA – Usahawan dan pempengaruh, Hafiz Mahamad bakal membentangkan input bagi memperbetulkan persepsi susulan dakwaan penghinaan kepada agama Islam ekoran video lamanya di Mekah.
Menerusi hantaran di media sosial, Hafiz berkata, dia akan memeriksa input tersebut terlebih dahulu dengan pakar, sebelum dibentangkan kepada umum.
“Terima kasih sahabat yang DM (direct message) baik-baik. Bagi saya semangat dan lain-lain. Saya dah siapkan input dan akan ‘check’ (semak) pada yang pakar sebelum saya bentangkan.
“Ini bukan untuk ‘clear’ (bersihkan) nama saya, tapi lebih kepada perbetulkan kenyataan dan persepsi atas video yang dilihat.
“Hamba Allah yang lemah ini layak dihina dan dikutuk. Tapi dengan izin Allah, saya takkan lari daripada usaha menjadi hamba yang baik dan bertanggungjawab supaya terus dipandang di sisi Tuhan,” katanya hari ini.
Hafiz berkata, dia juga akan bertanggungjawab dan mengambil segala risiko berhubung apa yang telah terjadi.
“Apa-apa kelemahan adalah saya, bukan keluarga dan pasukan saya. Insya-Allah usaha ini juga akan saya minta nasihat pada yang pakar. Harap ia berjaya dengan izin Allah, doakan saya,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan, video memaparkan kekecohan mahu mencium hajar aswad yang dimuat naik oleh usahawan berkenaan pada Mac lalu tular kembali di luar negara sehingga didakwa mengundang penghinaan kepada agama Islam.
Video tersebut dimuat oleh seorang pengguna X dipercayai di India dengan kapsyen menuduh wanita Islam tidak selamat ketika berada di Tanah Suci Mekah. – KOSMO! ONLINE