JAKARTA – Seorang pegawai kanan kerajaan di Manggarai Timur, wilayah Nusa Tenggara Timur dituduh menjalinkan hubungan sulit dengan wanita berstatus isteri selepas berkenalan melalui permainan online, lapor laman berita iNews semalam.
Perkara itu didedahkan suami wanita tersebut yang dikenali sebagai Zam Indra.
Menurut Zam, isterinya, JA, pertama kali berkenalan dengan pegawai dikenali sebagai A, melalui platform permainan online pada 2021 sebelum mereka saling bertukar nombor telefon.
Hubungan sulit itu dikatakan berlangsung selama setahun tanpa pengetahuan Zam.
Menurut Zam, dia megetahui perkara itu selepas menemui catatan harian isterinya yang menulis mengenai hubungannya dengan A.
Meskipun telah diminta agar memutuskan hubungan dengan isterinya, A tidak mengendahkan permintaan tersebut, malah ia memburukkan lagi keadaan rumah tangga Zam dan JA.
Disebabkan berasa kecewa dengan tindakan kedua-dua mereka, Zam melaporkan perkara itu kepada pejabat pemerintah daerah Manggarai Timur, dan berharap agar pegawai kanannya itu mendapat hukuman setimpal.
Sementara itu, menurut jurucakap pejabat berkenaan, pihaknya sedang meminta penjelasan daripada pegawai tersebut dan hukuman setimpal akan diambil sekiranya dia terbukti melanggar etika kerja. – AGENSI