fbpx

Farah permata judo negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARAH

TIADA apa yang dapat diungkapkan oleh Nur Farah Izzati Wallah, 23, selain kata syukur kepada Allah SWT selepas berjaya menyumbang pingat emas buat negara.

Dia yang juga atlet judo wanita negara telah berjaya ‘menuai’ pingat emas buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia baru-baru ini.

“Sebenarnya, saya tidak menyangka akan mendapat pingat emas, tetapi saya percaya rezeki Allah luas dan saya amat bersyukur dapat meraih pingat emas.

“Sebelum perlawanan akhir, saya juga berasa rendah diri dan amat berdebar kerana akan bertarung menentang atlet tuan rumah yang juga atlet Sukan Olimpik,” katanya.

Gadis yang mesra disapa Farah itu merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tambahnya, dia percaya, doa daripada ibu bapa telah membolehkannya meraih kejayaan tersebut.

Mengulas lanjut tentang penglibatannya dalam judo, gadis kelahiran Perak itu menjelaskan, dia mula terlibat dalam sukan itu sejak di bangku sekolah lagi.

FARAH (kiri) berjaya menewaskan atlet dari Indonesia pada perlawanan akhir.

Salah satu sebab dia menyertai judo kerana minatnya dalam seni mempertahankan diri.

“Saya terlibat dengan judo ini ketika di tingkatan satu, di mana saya perlu menyertai badan beruniform di sekolah.

“Pada waktu itu, saya sendiri tidak tahu judo itu apa. Untuk mengetahuinya, saya memilih untuk menyertai kelab judo.

“Ternyata pilihan saya menyertai judo tepat sehingga membolehkan saya masuk ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Bandar Penawar, Johor ketika tingkatan tiga,” jelasnya.

Sejak itu, dia terus aktif dengan judo sehingga sekarang.

Malah, Farah telah menyertai banyak kejohanan judo sama ada di dalam mahupun luar negara.

Dia pernah beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) pada 2018 serta 2022 dengan mewakili negeri kelahirannya, Perak dan berjaya meraih pingat gangsa.

Selain itu, dia sempat mewakili Selangor dan menyumbang pingat emas pada Kejohanan Judo Junior Championship pada 2022.

FARAH (tengah) berjaya meraih pingat emas menerusi acara judo pada AUG 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia baru-baru ini.

Dalam pada itu, Farah menjelaskan, antara cabaran yang dihadapinya dalam sukan judo adalah tempat latihan.

“Judo ini tidak popular seperti sukan lain dan di UPM sendiri tiada tempat latihan. Jadi, saya terpaksa menumpang tempat latihan pasukan judo Selangor jika ingin menyertai sebarang kejohanan,” terangnya.

Dalam pada itu, berbicara tentang perancangan masa depannya dalam sukan judo, Farah berkata, dia mahu menjadi tenaga pengajar dan ingin membuka kelas judo.

Dia mengakui bahawa di peringkat universiti sendiri, judo tidak popular.

Jadi, fokusnya pada masa hadapan adalah membuka kelas judo bagi membolehkan lebih ramai orang mengenali seni mempertahan diri itu.

Ketika diminta mengulas tentang jurusan komunikasi sebagai pilihan pengajiannya, dia menjelaskan, bidang itu mempunyai pelbagai cabang, sekali gus membolehkannya bekerja di mana-mana bahagian pada masa depan.

“Dunia kini cenderung ke arah digital dan teknologi. Pada masa sama, kemahiran komunikasi sangat penting.

“Jadi, saya rasa pemilihan bidang komunikasi dapat mempersiapkan diri saya untuk masuk ke dunia pekerjaan selepas ini,” jelasnya.

Sementara itu, Farah berkata, dia juga aktif dengan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) di kampus.

Katanya, dia menyertai SUKSIS sebagai salah satu ‘pelan sandaran’ untuk kerjayanya pada masa hadapan.

“Saya aktif dalam SUKSIS ini untuk kerjaya pada masa depan. Jika tiada rezeki dalam bidang pengajian, saya mungkin pilih jadi anggota polis,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI