MADRID – Bintang muda sensasi Brazil, Endrick akhirnya diperkenalkan sebagai pemain baharu Real Madrid selepas melengkapkan perpindahan dari kelab lamanya, Palmeiras.
Seramai 43,000 peminat memenuhi Santiago Bernabeu untuk menyaksikan pemain baharu mereka itu diperkenalkan menyebabkan Endrick dilihat menitiskan air mata ekoran terharu dengan sambutan yang diberikan.
Menurut Endrick, Real adalah kelab yang menjadi impiannya sejak kecil untuk berakhir dan tidak menyangka cita-cita tersebut akhirnya menjadi kenyataan selepas hampir dua tahun spekulasi perpindahannya diperkatakan.
“Saya sangat gembira, sejak kecil saya adalah peminat Real dan memasang impian untuk bermain bersama kelab ini. Sekarang saya sudah berada di sini dan tidak ada perkataan untuk menggambarkan perasaan gembira ini.
“Saya tidak menjangkakan seramai ini peminat akan memenuhi stadium menantikan kehadiran saya. Ia sangat luar biasa kerana apa yang saya impikan sudah menjadi realiti,” katanya ketika berucap di hadapan penyokong Real.
Real dan Palmeiras mencapai kata sepakat mengenai perpindahan Endrick sejak Disember 2022, namun perpindahan tersebut terhalang ekoran faktor usia apabila hanya hanya dibenarkan menyertai juara La Liga itu pada 21 Julai lalu selepas usianya genap 18 tahun untuk menandatangani kontrak profesional pertama.
Nilai perpindahan tersebut dianggarkan menelan belanja sebanyak £29.5 juta (RM176.64 juta), namun jumlah berkenaan mampu meningkat sehingga £50.6 juta (RM302.99 juta) termasuk bonus. – AGENSI