KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan terkenal bergelar Datuk didakwa memperdaya 53 orang mangsa skim pelaburan dengan jumlah kerugian hampir RM20 juta.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket penipuan yang diketuai oleh individu itu menggunakan beberapa rangkaian syarikat.
“Konsep pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat tersebut adalah di mana pelabur dijanjikan dengan satu pulangan dividen yang lumayan serta manfaat-manfaat lain kepada mereka.
“80 peratus mangsa pelaburan ini terdiri daripada pesara dan mereka kehilangan wang persaraan disebabkan sindiket penipuan pelaburan ini.
“Sehubungan itu, mereka terpaksa kembali bekerja pada usia emas bagi menampung kehidupan seharian kerana sudah tidak mempunyai wang simpanan,” katanya dalam sidang akhbar di Megan Avenue 1, di sini hari ini.
Katanya, jumlah sebenar mangsa yang terlibat dalam sindiket penipuan ini lebih daripada 1,000 orang namun setakat ini hanya 53 orang datang ke MHO untuk mendapatkan pembelaan bagi kes ini yang telah berlanjutan sejak tiga tahun lalu.
Hishamuddin berkata, syarikat yang terbabit dengan skim pelaburan itu telah didenda oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak RM50 juta atas kesalahan Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001.
“Walaupun begitu, denda tersebut tidak setimpal dengan kerugian yang dialami oleh mangsa dan kami berharap pihak polis mempercepatkan kes ini agar keadilan dapat ditegakkan,” ujarnya.
Jelasnya, hasil maklumat daripada pengadu menyatakan syarikat terbabit masih memberikan harapan dan janji kepada pelabur bahawa pembayaran dividen akan dibuat seperti biasa setelah kes selesai.
Sementara itu, salah seorang mangsa penipuan, Rosman Zainuddin berkata, dia hanya menerima dividen sebanyak 10 bulan pertama sejak melabur sejak November 2021 dan kemudian tiada lagi khabar mengenainya.
“Masa depan kami sebagai pesara diragut oleh individu itu yang kini hidup dengan senang lenang. Hanya bayar denda RM50 juta, tetapi tiada tindakan lanjut yang setimpal dengan penderitaan kami.
“Perjanjian yang dikatakan patuh syariah merupakan satu tarikan kepada mangsa untuk menyertai skim pelaburan itu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE