KUALA LUMPUR – Aktivis pembangkang, Chegu Bard atau Badrul Hisham Shaharin direman dua hari ekoran dakwaannya mengenai isu rasuah membabitkan pegawai tertinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Md Isa berkata, Che’gu Bard direman dua hari bagi membantu siasatan lanjut mengenai kes terbabit selepas ditahan pukul 3 petang semalam di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya.
“Che’gu Bard direman dua hari bermula hari ini hingga esok berikutan dakwaan mengenai isu rasuah TLDM.
“Ini adalah proses biasa kerana kita menerima satu laporan polis. Kesalahan itu kita akan siasat dan jika ada keperluan kita akan buat tangkapan.
“Reman tidak akan disambung lagi esok sekiranya siasatan selesai. Ia bergantung kepada proses siasatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas di IPD Dang Wangi, di sini, hari ini.
Katanya, Che’gu Bard disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Walaupun salinan dokumen dia ada tetapi kita tetap mahukan siapa yang menyalurkan dokumen dikatakan hak milik kerajaan. Pasti ada individu tertentu terlibat kerana dia bukanlah pekerja di situ,” jelasnya.
Terdahulu, Che’gu Bard mendakwa polis menyerbu rumahnya pada Jumaat namun beliau tiada di rumah kerana berada di Tambun.
Beliau mendakwa tindakan itu susulan catatannya di Facebook yang mendedahkan dokumen sulit berhubung kegiatan rasuah membabitkan pegawai tinggi kanan TLDM. – KOSMO! ONLINE