HULU TERENGGANU – Seorang buruh maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 4, Jalan Kuala Berang – Dusun berhampiran Kampung Kuala Por di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 10.35 pagi itu, mangsa, Zuraidi Satar, 44, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, sewaktu kejadian, Zuraidi dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Dura dari pekan Kuala Berang di sini.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sehingga melanggar besi tiang sebuah kanopi yang terletak di tepi jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia setelah diperiksa oleh petugas perubatan sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE