KUANTAN – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tirinya pada 1 Julai lalu.
Tertuduh yang berusia 48 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Menurut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memaksa anak tirinya yang berusia 11 tahun memegang alat sulitnya.
Tertuduh melakukan kesalahan itu pada pukul 7 malam, 1 Julai lalu di rumahnya di daerah ini. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh dan menetapkan 22 Ogos ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE