SUNGAI BULOH – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mencapai tahap 20 peratus bagi pelaksanaan Banci Pertanian 2024 yang dilakukan di seluruh negara, sejak ia dimulakan pada 7 Julai lalu.
Peratusan tersebut meliputi 251,371 orang yang telah dibanci di seluruh negara terdiri daripada empat subsektor iaitu tanaman, ternakan, perikanan & akuakultur serta perhutanan & pembalakan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, dari segi pecahan mengikut negeri Selangor, ia telah sampai ke tahap 25 peratus dengan melibatkan 17,000 orang, Kedah (25.2 peratus/20,881) dan Johor (23 peratus/45,000).
“Selain itu, Kelantan (15.8 peratus/13,875), Melaka (13.9 peratus/2,602), Negeri Sembilan (22 peratus/8,487), Pahang (22.6 peratus/19,337), Pulau Pinang (28 peratus/5,433) dan Perak (18.5 peratus/12,968).
“Perlis mencatatkan (21 peratus/3,008), Terengganu (25.6 peratus/23,696), Sabah (17.8 peratus/45,303), Sarawak (19.6 peratus/31,417) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan (20.7 peratus/1,468),” katanya selepas melawat ARC Berkat Agro Food Sdn. Bhd. di Kampung Kubu Gajah di sini semalam.
Ditanya cabaran pelaksanaan bancian itu, beliau berkata, antara nya adalah sesetengah petani tidak menyimpan maklumat yang diperlukan.
“Ada juga petani yang tiada di lapangan, hanya pekerja sahaja yang ada. Mungkin mereka di bandar serta mempunyai pekerjaan tetap lain sebagai pegawai kerajaan atau kakitangan swasta.
“Cabaran lain dari segi kefahaman tentang kenapa maklumat lengkap diperlukan. Dalam statistik, ramai menganggap data yang diberikan tidak penting, tapi dari konteks merancang negara, ia diperlukan untuk buat keputusan,” katanya.
Mohd. Uzir menjelaskan, bagaimanapun DOSM mendapat kerjasama yang baik terutama daripada agensi kerajaan negeri dan peringkat daerah dalam melaksanakan bancian tersebut.
“Komitmen kerjasama itu hampir 100 peratus sekali gus menjadi satu indikator awal bahawa kejayaan untuk sampai ke tarikh tutup 10 Oktober ini, kita sudah berada ‘di sebelah kaki’.
“Jadi kita kena dapatkan data dinamik dan berterusan, jadi kita kena kemas kini data-data tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kali terakhir Banci Pertanian dilaksanakan adalah pada 2005 iaitu kira-kira 19 tahun lalu sekali gus pengumpulan data terkini penting bagi mendapatkan maklumat dinamik dan terkini.
“Kita mahu tambah baik, misalnya, bagaimana penyaluran program berbentuk bantuan diberikan kepada pemilik tanah, tetapi ia tidak diusahakan.
“Perkara ini memerlukan penambahbaikan supaya dana awam itu digunakan dengan berkesan,” katanya. -KOSMO! ONLINE