Amal by Malaysia Airlines (Amal), anak syarikat Malaysia Aviation Group (MAG) memainkan peranan penting dalam menawarkan perkhidmatan berkualitinya bagi melancarkan urusan haji dengan membawa jemaah ke Tanah Suci.
Pengoperasian Amal kembali sibuk selepas musim haji baru-baru ini dan ia memberi tumpuan terhadap perkhidmatan membawa jemaah umrah ke Tanah Suci dengan melibatkan tiga penerbangan setiap hari dari KLIA dan yang terbaharu, syarikat menyediakan penerbangan sekali seminggu, terus dari Lapangan Terbang Senai, Johor ke Madinah.
Jemaah yang menaiki penerbangan Amal pastinya akan merasai kelainan berbanding terbang dengan pesawat komersial lain yang mana sebaik melangkah ke dalam pesawat, hati jemaah pasti terusik mendengar audio Talbiyah selain itu dalam penerbangan, turut dibacakan bacaan doa musafir, azan apabila tiba waktu solat, tazkirah dan juga pelbagai kandungan agama.
Ketua Pegawai Operasi Amal, Muhammad Najmi Mansor yang telah berkhidmat dalam industri penerbangan lebih daripada 20 tahun menyatakan, pihaknya bersedia memenuhi kapasiti dan bilangan jemaah yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.
“Selain meningkatkan hubungan kerjasama dengan Kerajaan Arab Saudi, pastinya kami sentiasa mengukuhkan hubungan dengan rakan strategik yang terdiri daripada agensi pengendali umrah utama dan bercadang untuk menambah lagi bilangan rakan strategik itu pada masa depan,” katanya dalam satu temu bual di KLIA, Sepang baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh jelaskan berapa ramai jumlah penumpang Amal sehingga kini?
Muhammad Najmi: Amal menawarkan penerbangan sewa penuh dan juga penerbangan berjadual untuk mengerjakan haji dan umrah ke Jeddah dan Madinah daripada hab utamanya di Kuala Lumpur (KL). Bermula dari tahun 2019 sehingga 2023, ia melibatkan sehingga 1.17 juta penumpang.
Bagi tahun ini iaitu dari bulan Januari hingga April, kami telah membawa seramai 20,000 jemaah umrah dan kami menyasarkan pertumbuhan sebanyak 10 hingga 15 peratus setiap tahun.
Bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, kami mengunjurkan jumlah tersebut bakal bertambah sebanyak dua kali ganda sehingga mencecah 40,000 jemaah.
Kerajaan Arab Saudi menyasarkan pertambahan jemaah umrah dan haji sebanyak tiga hingga empat kali ganda menjelang tahun 2030.
Untuk mencapai jumlah tersebut, pelbagai projek infrastruktur telah disiapkan dan ada yang sedang dibangunkan.
Terbaharu adalah mereka sedang menyiapkan projek menara kediaman pelbagai tingkat di Mina yang akan menggantikan khemah.
Selain itu, jumlah jemaah umrah Malaysia tahun lepas telah mencecah lebih 400,000 jemaah berbanding hanya sekitar 200,000 jemaah sebelum pandemik.
Jumlah ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi pertambahan ketara ini berlaku di negara lain.
Pertambahan jumlah ini juga disokong oleh kesediaan kerajaan Arab Saudi yang menyelesaikan banyak masalah birokrasi, antaranya permohonan visa yang dulunya mengambil masa antara dua hingga tiga minggu tetapi sekarang ia boleh didapati dalam tempoh 24 jam.
Ada satu lagi fakta menarik daripada Bahagian Pelancongan Arab Saudi yang memaklumkan bahawa majoriti jemaah kini menunaikan umrah menggunakan visa pelancong kerana harganya murah, tempoh sah selama setahun dan juga kebenaran kemasukan berulang (multiple entry).
Sehubungan itu, ia akan menggalakkan ramai jemaah bakal kembali menunaikan umrah dalam tempoh berkenaan.
Apakah cabaran Amal?
Cabaran meliputi pelbagai aspek seperti persaingan, keyakinan pasaran, peraturan kerajaan Arab Saudi yang sentiasa berubah.
Bagi saya, ini semua bukan cabaran yang baharu dihadapi, ia perkara biasa yang telah dilalui sebelum ini. Tetapi kami kena peka dengan perkembangan semasa dan perlu sentiasa bersedia ambil langkah segera untuk mengurangkan kesan daripada cabaran tersebut.
Antara usaha kami adalah dengan membina hubungan yang erat dengan kerajaan Arab Saudi dan juga dengan rakan strategik yang terdiri dengan agensi pengendali umrah yang mana setiap sebulan, kami akan berjumpa untuk membincangkan isu semasa dan juga kami menganjurkan bengkel setiap tiga bulan sekali bagi mendapatkan maklum balas daripada pasaran dan pelanggan.
Adakah Amal membawa jemaah haji dan umrah dari luar negara?
Tahun ini, kami membawa seramai 1,300 jemaah haji dari Singapura, New Zealand, Australia dan Kemboja. Kami menggunakan penerbangan komersial dan ini adalah pertama kali kami membawa jemaah haji dari luar negara.
Mereka transit di KLIA dan diterbangkan ke Madinah dan Jeddah.
Selain itu juga, Amal mendapat sokongan daripada Malaysia Airlines untuk menyediakan keterhubungan antara beberapa negara sebagai contoh di Indonesia. Malaysia Airlines terbang ke enam destinasi seperti Jakarta, Denpasar, Pekanbaru, Yogyakarta, Medan dan Surabaya.
Kami banyak membawa jemaah umrah khususnya dari Yogyakarta dan Pekanbaru untuk transit di KLIA dan dengan menaiki penerbangan Amal kami terbangkan mereka ke Madinah dan Jeddah.
Kumpulan ini mewakili 10 peratus daripada jumlah jemaah umrah yang seramai 20,000 jemaah umrah yang dinyatakan sebelum ini. Ini konsep baharu dan sekarang kami telah berkembang di luar Malaysia.
Kami juga membawa jemaah umrah dari Singapura, Vietnam, Kemboja, selatan Thailand, Australia dan juga New Zealand.
Berapa banyak perjanjian kerjasama telah dimeterai dengan agensi pengendali umrah khususnya bagi penempahan tiket penerbangan?
Kami sudah memeterai perjanjian dengan 12 agensi pengendali umrah untuk tahun baharu hijrah ini dan dan kami menyasarkan 14 kerjasama dimeterai.
Kami menawarkan sejumlah 230,000 kerusi (dalam pesawat) untuk musim ini dan melalui kerjasama ini, sebanyak 65 peratus kerusi telah ditempah bermakna pengendali umrah tersebut memiliki tempahan kerusi yang dijamin ada.
Pada tahun pertama Amal ditubuhkan, kami memeterai perjanjian dengan lapan agensi, selepas itu bertambah kepada 10 syarikat dan seterusnya 11 syarikat pada musim umrah sebelum ini. -KOSMO! ONLINE