fbpx

7,504 orang cari kerja di Gegar Gerak Kerjaya Mega MYFutureJobs Johor 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara pencari kerja yang hadir pada Gegar Gerak Kerjaya Mega MYFutureJobs Johor 2024.

PETALING JAYA – Seramai 7,504 pencari kerja hadir ke Gegar Gerak Kerjaya Mega MYFutureJobs Johor 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad semalam.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kenyataannya memaklumkan, daripada jumlah itu 4,823 individu telah ditemu duga dengan 452 berjaya mendapat pekerjaan.

“Karnival berlangsung di Stadium Tertutup MBJB Arena Larkin, Johor mendapat penyertaan 50 majikan yang menawarkan lebih 6,000 peluang pekerjaan pelbagai jawatan antaranya jawatan kosong kumpulan profesional dan berkemahiran tinggi seperti Project Engineer, Quality Control Engineer, Mechanical Filter & Fitter, Technical Executive dan Process Engineer berserta tawaran gaji sehingga RM15,000.

“Karnival kerjaya kali ini juga mengambil pendekatan gamifikasi secara interaktif bertujuan mempelbagaikan platform kepada pencari kerja untuk merebut peluang pekerjaan disediakan melalui elemen permainan,” kata kenyataan itu hari ini.

Perkeso menjelaskan, konsep gamifikasi menyediakan simulasi pekerjaan untuk memperkenalkan kepada pencari kerja dunia pekerjaan sebenar serta mencabar kemahiran melalui pertandingan yang dilihat mampu mengasah pemikiran kreatif dan meningkatkan tahap keyakinan diri.

“Program ini berupaya mengoptimalkan pemadanan pekerjaan serta membantu majikan untuk mengenal pasti pekerja yang berpotensi mengikut keperluan,” katanya.

Perkeso turut berkongsi pelbagai perkhidmatan disediakan antaranya pendaftaran percuma di Portal Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs, kaunseling kerjaya serta pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Perkeso seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Pada karnival itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga mengumumkan dalam ucapan perasmiannya sebanyak 1,371 Program Karnival Kerjaya termasuk temu duga harian dan mingguan telah dilaksanakan dari tahun 2020 sehingga 15 Julai lalu di negeri Johor melibatkan seramai 48,144 individu pencari kerja.

“Daripada jumlah ini, seramai 9,491 individu pencari kerja berjaya mendapatkan pekerjaan dan 17,568 individu berjaya melepasi ke peringkat seterusnya dengan keseluruhan jumlah individu yang berjaya mendapatkan pekerjaan di negeri Johor dari 2020 sehingga 15 Julai lalu adalah seramai 104,840 orang,” ujarnya.

Sementara itu, karnival tersebut merupakan anjuran Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) dengan kerjasama strategik Perkeso Johor serta Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) yang julung kalinya membawa konsep gamifikasi yang berteraskan inovasi trend temu duga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI