PETALING JAYA – Sejak upacara pembukaan Olimpik Paris 2024 awal pagi semalam, rata-rata rakyat Malaysia melahirkan rasa kecewa kerana hanya berpeluang menyaksikan perarakan masuk kontinjen negara kurang daripada 20 saat.
Namun, yang lebih menyentuh hati orang ramai apabila tular sebuah lagi video memaparkan seorang rakyat Malaysia yang memegang bendera negara di tepi Sungai Seine.
Di dalam video itu, rakyat Malaysia itu setia menunggu giliran perarakan masuk kontinjen negara walaupun dalam keadaan hujan sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan begitu bangga.
Setelah perarakan masuk, kelihatan kontinjen negara yang berada di bot juga sempat berpaling ke arah rakyat Malaysia tersebut dan turut melambai-lambai sebagai tanda penghargaan.
Ketika itu, kontinjen Malaysia diwakili enam atlet dan empat pegawai pada acara pembukaan Olimpik Paris 2024 dengan penerjun, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif menggalas tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang.
Video itu telah menimbulkan rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang menzahirkan rasa bangga apabila melihat Jalur Gemilang dikibarkan dengan penuh rasa bersemangat di negara luar.
“Aku tak tahu lah kenapa tapi bila tengok video ni rasa meremang dan tiba-tiba bersemangat patriotik. Terus rasa berkobar-kobar. Rasa bangga sangat,” komen Samboi.
“Walaupun seorang, tetapi cukup bermakna. Kamu mewakili rakyat Malaysia yang tak berkemampuan untuk kesana. Semoga atlet-atlet Malaysia membawa kebanggaan negara,” komen Raysa.
“Patut atlet kita nampak bersemangat tengok belah ni. Sebab depa (mereka) nampak bendera kita dah. Mesti mereka bersemangat nampak tu. Aaaaa mata terus masuk habuk,” komen Zaida.
“Kepada akak yang kibarkan Jalur Gemilang ni, saya ucapkan terima kasih. Anda buat kami berbangga dan menangis,” komen Ridhuan.
Pada Olimpik Paris 2024 ini, seramai 26 atlet negara daripada sembilan jenis sukan tampil mewakili negara dalam acara gilang-gemilang yang telah membuka tirainya secara rasmi semalam.
Antara sukan terlibat adalah terjun, renang, pelayaran, menembak, berbasikal trek, berbasikal lebuh raya, angkat berat, badminton, golf, memanah dan olahraga. – KOSMO! ONLINE
@i_stan_jia Video ni lagi buat sebak dari 20 saat tu😭 As a Malaysian, we are proud of our athletes representing our country 🇲🇾❤️ Demi Malaysia ! video credit : IG badlivepage ( original video from XHS credit to the owner🧡) #paris2024#malaysia#foryou #olympics#malaysiaboleh#fyp #demimalaysia#teammas ♬ MALAYSIA – Faizal Tahir