KAJANG – “Saya sihat dan ingin kembali aktif dalam bidang seni”.
Demikian kata pelakon dan penyanyi sensasi, Nonny Nadirah, 35, yang kembali muncul membuat persembahan depan khalayak selepas tiga tahun menghilang dari radar seni.
Menurut Nonny atau nama lengkapnya Nonny Nadirah Zainuddin, tiada istilah rehat atau direhatkan selama dia menyepi.
“Perkara ini terjadi secara tidak langsung. Selama tiga tahun saya banyak menyendiri dalam dunia saya sendiri dan tidak bercampur dengan orang.
“Sekarang baru saya terbuka hati untuk bertemu dengan orang dan terima tawaran membuat persembahan nyanyian.
“Sukar untuk saya ceritakan apa yang terjadi selama ini kerana perkara ini terlalu peribadi,” katanya ketika ditemui di sebuah festival makanan di Kajang, Selangor.
Anak jati kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu juga tidak menafikan antara faktor dia menyepikan diri adalah kerana patah hati akibat putus cinta. Sebelum ini dia pernah dikatakan bercinta dengan aktor, Niezam Zaidi.
“Tidak dinafikan, itu antara salah satu faktor. Tetapi dalam masa sama disebabkan keadaan sekeliling. Saya rasa dah tak macam dulu lagi.
“Ketika saya sertai Akademi Fantasia musim kelima semuanya masih okey. Namun, selepas beberapa tahun saya mula rasa tidak berapa selesa. Tak tahulah mungkin sebab pelakon zaman sekarang tak macam dulu,” jelasnya.
Untuk kembali dalam bidang lakonan, Nonny yang pernah popular dengan drama Dia Isteri Luar Biasa mengambil pendekatan untuk lebih selektif.
“Apa yang penting untuk saya adalah siapa gandingan serta kumpulan yang saya bekerja.
“Bukanlah nak kata saya memilih, tetapi kerjasama sebagai satu kumpulan penting untuk mencantikkan sesebuah naskah,” katanya.
Pernah mencetuskan kontroversi apabila memuat naik gambarnya berendam dalam besen pada 2021, kebelakangan ini Nonny dilihat kembali ‘menggila’ dan berkelakuan pelik dalam media sosial.
Video membotakkan kepala dan membuat ulasan produk sambil bertuala membuatkan netizen tidak senang duduk sekali gus menghamburkan kata-kata nista buatnya.
Kata Nonny, dia ada sebabnya tersendiri kenapa berkongsi kandungan sebegitu tetapi menyangkal dakwaan melakukannya demi meraih publisiti.
“Video botakkan kepala itu sekadar nak beritahu orang bahawa anda boleh potong rambut sendiri di rumah. Tak payah keluarkan duit pergi kedai. Duit itu mereka boleh simpan atau beli benda lain.
“Video buat ulasan sambil bertuala itu pula saya sekadar ingin membantu mempromosikan produk tersebut. Tetapi tak sangka video itu telah ditarik semula.
“Nampaknya selepas ini saya perlu berjaga-jaga. Saya akan lebih selektif dalam membuat ulasan tentang sesuatu produk,” ujarnya.
Luah Nonny lagi, dia bingung kenapa dirinya yang sering menjadi sasaran netizen sedangkan ada artis lain yang memuat naik kandungan yang lebih teruk dalam media sosial.
“Ada sahaja saya tengok artis lain botakkan kepala dalam Instagram tetapi tak jadi pertikaian netizen. Bila saya buat ramai yang kecoh.
“Kalau nak kata saya gila perhatian, pada saya setiap orang yang ada akaun media sosial gila perhatian,” katanya.
Beralih perihal peribadi, kata Nonny dia kini masih solo tetapi tidak membuka pintu hatinya untuk mana-mana lelaki.
‘Saya tidak bersedia untuk ada apa-apa komitmen. Cukuplah dengan pengalaman lalu.
“Bukan nak kata saya kecewa atau patah hati, tetapi sebelum ini saya banyak menjaga perasaan dan dahulukan orang lain.
“Sayangilah diri sendiri terlebih dahulu. Buat apa utamakan orang lain kalau mereka tak utamakan Kita,” katanya.
Dilihat aktif memperjuangkan nasib saudara Islam di Palestin, kata Nonny buat pertama kali dia mencipta lagu yang didedikasikan khas buat Palestin dan akan dilancarkan tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE