PETALING JAYA – Video memaparkan kekecohan mahu mencium hajar aswad pernah dimuat naik oleh seorang lelaki yang juga usahawan dan personaliti media sosial pada Mac lalu tular kembali, namun di luar negara sehingga didakwa mengundang penghinaan kepada agama Islam.
Video tersebut dimuat oleh seorang pengguna X dipercayai didakwa di India dengan kapsyen menuduh wanita Islam tidak selamat ketika berada di Tanah Suci Mekah.
“Wanita berdepan gangguan ekstrem di tempat suci di Mekah. Anda rasa masjid dan madrasah (sekolah) selamat untuk golongan wanita?,” katanya pada hantaran itu.
Ia dimuat naik beberapa hari lalu sehingga mendapat kira-kira 5.1 juta tontotan serta pelbagai lagi komen daripada pengguna X.
Bagaimanapun, video itu juga mengundang kembali kemarahan umat Islam di Malaysia terhadap usahawan dan personaliti media sosial berkenaan.
Salah seorang yang meluahkan kemarahan tersebut ialah penulis buku, Helmi Effendy dan menerusi hantaran Facebook, video itu dipercayai mengundang kebencian kepada agama Islam.
“Video dia dulu yang acah-acah kat depan Kaabah jadi pelindung wanita? Video tu sekarang digunakan untuk kutuk Islam dan sebarkan kebencian pada Islam. Dah empat juta tontonannya, semuanya mengundang cela dan hinaan pada agama kita.
“Dan sekarang dia tak sedar, dia buat video tu semata-mata demi ‘content’, dia dah datangkan fitnah pada agama. Fitnah pada agamanya dah ditonton empat juta.
“Maka dia sedang menuai dosa-dosa berangkai daripada video dia. Sebab tu kalau anda jadi ‘influencers’ (pempengaruh), berhati-hati buat video. Kita tak sedar bagaimana video tu akan menyerang kita balik, menyerang negara dan bangsa kita, malah lagi teruk, agama kita,” ujarnya.
Helmi berkata, pendakwah dalam dan luar negara berusaha membawa imej Islam yang baik sekali gus menyebarkan keagungan agama ini.
“Keindahan syahadah kita, dirosakkan kerja mereka kerana kita nak mencapah demi secebis perhatian.
“Maka berhati-hatilah para ‘influencers’, dalam menghasilkan kandungan harian, semoga ia tak jadi ladang dosa, dan akan jadi ladang pahala buat kita,” tegurnya.
Ia turut dipersetujui pengguna media sosial lain, bahkan ada yang secara sinis mengucap tahniah kepada usahawan tersebut ekoran tular kembali video itu.
“Sama dengan apa saya khuatirkan bila video ni mula-mula naik. Dapat rasa mereka yang anti Islam akan gunakan sebagai ruang untuk hentam Islam. Betul-betul jadi,” komen Azmil Abrar.
“Tolong ‘tag’ dia, hasil daripada ‘lapar’ (perhatian),” kata Akmal Nazmi.
“Tahniah, anda dah buatkan Malaysia popular dengan jadikan wanita Muslim diburukkan dalam ‘content’ mengarut anda,” kata seorang pengguna X.
Mac lalu Kosmo! melaporkan, tular video memperlihatkan lelaki tersebut yang terpaksa menolak dan menjerit kepada jemaah lain untuk memberi laluan kepada beberapa jemaah wanita yang dibawa bersamanya.
Sehubungan itu, rata-rata ramai mengecam tindakannya yang dikatakan hanya berbuat demikian semata-mata untuk ‘content’.
Perbuatan tersebut ditegur oleh ramai agamawan termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menjelaskan, hukum mencium hajar aswad adalah haram sekiranya ia menyebabkan masalah dan membahayakan diri sendiri atau orang lain.
Kemudian, lelaki itu tampil menerusi video dan mendedahkan bahawa, tujuan berkongsi video membantu beberapa wanita mencium hajar aswad hanyalah untuk kenangan bersama pasukannya. – KOSMO! ONLINE